Sk Biz Solution - Community: November 2025

Tuesday, November 25, 2025

Tukar cara berfikir: dari Victim Mindset ke Victory Mindset


Biasanya kebanyakan orang yang loser atau gagal dalam hidup mereka ada perangai tidak mahu bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri. 

Bila mereka gagal, mereka cepat menyalahkan orang lain. Mereka rasa diri mereka mangsa keadaan. Mereka rasa dizalimi.

Bila sakit - mereka salahkan makanan yang tak berkhasiat. 
Tapi realitinya mereka sendiri yang tidak jaga makan. 

Mereka makan berlebihan, ambil gula dan makan makanan berproses setiap hari. 
Mereka malas nak bergerak atau bersenam.

Bila susah, tak cukup duit - mereka salahkan ekonomi tak stabil, harga barang naik, kerajaan tak bantu. Tapi hakikatnya, mereka sendiri yang malas berusaha dan tak cuba ubah cara hidup mereka.

Bila bos tak naikkan gaji - mereka salahkan syarikat yang tak prihatin, mereka salahkan bos pilih kasih, mereka salahkan kawan sekerja yang “kaki bodek” atau “tikam belakang”. 

Tapi bila bekerja, mereka tak sunguh-sungguh, tidak tepati masa, hasil kerja tak mencapai KPI dan tidak ada nilai tambah pada syarikat.

Inilah punca utama kenapa ramai orang gagal dalam hidup.
Mereka masih kekal pada tahap sama bertahun-tahun.

Sebabnya mereka terperangkap dengan victim mindset - cara berfikir yang meletakkan diri sebagai mangsa keadaan.

Apa itu victim mindset?

Orang yang ada victim mindset sentiasa fikir bila sesuatu buruk berlaku pada diri dia - itu bukan salah dia. Dia fikir dunia yang jahat pada dia. 

Dia tak mahu bertanggung jawab ke atas apa yang berlaku dalam hidupnya. 
Dia hanya fokus pada apa yang orang lain buat, bukan apa yang dia boleh buat.

Contoh.

Bila gaji tak naik, dia salahkan bos. 
Bila kerja tak disiapkan, dia salahkan kawan sekerja. 
Bila gagal, dia salahkan keadaan.

Apa jadi kalau kita kekal dengan victim mindset?

1.Kita akan sentiasa stress.
Sebab kita cuba kawal perkara yang kita tak boleh kawal. Kita tak boleh kawal orang lain. Kita tak boleh kawal bos, ekonomi, kerajaan dan keadaan sekeliling.

2. Kita tidak akan berubah.
Bila kita fikir semua salah orang, kita tak akan cari jalan untuk perbaiki diri sendiri. Maka kita akan berhenti belajar. Kita akan kekal di tahap sama.

3. Kita tidak akan berjaya
Apabila berhenti belajar, kita tidak ada ilmu, sedangkan untuk berjaya kita perlukan ilmu. Sebab itu orang yang ada victim mindset akan sentiasa gagal.

Oleh itu, jika kita mahu berjaya dalam hidup, kita kena ada "Victory mindset"

Victory mindset: cara fikir orang yang menang

Orang yang ada victory mindset - dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang berlaku pada diri dia.

Sekiranya perkara itu berlaku disebabkan orang lain (bukan salah dia) dia tetap bertanggungjawab ke atas perkara itu. 

Ini kerana, dia tahu dia tak boleh kawal orang lain. 
Dia hanya boleh kawal diri dia sendiri. 
Dia boleh kawal cara dia berfikir dan bertindak. 

Kelebihan victory mindset:

1. Tak stress.

Dia tak bazir tenaga dan masa kawal benda yang tak boleh dikawal. 
Dia fokus pada diri sendiri dan perkara yang dia boleh kawal.

2. Mudah berubah.
Bila dia sedar, dia bertanggungjawab terhadap diri dia sendiri maka dia akan perbaiki diri. Dia akan berubah untuk menjadi lebih dari sebelumnya.

3. Lebih berjaya.

Orang yang konsisten belajar dan memperbaiki diri menjadi lebih baik, biasanya, dia akan berjaya capai impian yang dia mahu.

Kunci perubahan: sedar dan ubah

Hidup kita hari ini adalah hasil daripada tindakan kita sebelum ini.
Kita tak sihat sebab kita tak jaga makan dan bersenam dulu.
Kita miskin sebab kita tak belajar cara yang betul untuk menguruskan kewangan dan tambah skil dulu.
Kita tak naik gaji sebab kita tak beri nilai tinggi pada syarikat.

Jadi kalau kita betul-betul nak berubah, langkah pertama ialah kita kena sedar.

Kita kena sedar adakah selama ini kita berfikir dengan cara victim mindset?
Adakah kita suka salahkan orang lain apabila kita gagal capai impian kita?
Adakah kita bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang berlaku pada diri kita?

Apabila kita sedar yang kita berfikiran “victim mindset”, kita kena cepat-cepat berubah kepada "victory mindset"

Jom kita sama-sama audit dan check diri kita sekarang.

Kita ini banyak berfikir secara “Victim atau Victory?




Friday, November 14, 2025

Antara sebab kenapa ramai pekerja rasa tertekan sekarang ini


 
Ramai pekerja hidup dalam keadaan tertekan dengan keadaan sekarang.

Setiap hari  pergi kerja, jalan jem tak tentu masa, sampai pejabat banyak kerja yang nak disiapkan, dapat bos jenis tak faham, asyik mengarah.

Ada rakan sekerja banyak yang tak boleh nak tolong, jenis suka tikam belakang dan membodek bos banyak la, itu belum masuk lagi dengan politik ofisnya.

Kita ni kena kerja macam lembu, disuruh buat itu dan ini, tapi gaji masih ditahap sama, tak naik-naik bertahun.

Kita rasa tertekan, kita rasa marah, kecewa dan mula menyalahkan keadaan. 

Kita salahkan bos, kawan, ekonomi, syarikat. Kita rasa semua orang salah kecuali diri kita.

Adakah anda berada dalam situasi tersebut?

Kalau ya, cuba anda berhenti dan berfikir sejenak tentang hakikat dunia ini. 

Hakikat dunia ini - banyak perkara dalam hidup ini kita memang tak boleh kawal.


Kita tak boleh kawal bos.
Kita tak boleh paksa dia faham kita, atau hargai kita seperti yang kita mahu.

Kita tak boleh kawal syarikat.
Kita bukan pemilik syarikat, jadi kita tak boleh tentukan sistem atau polisi yang mereka guna.

Kita juga tak boleh kawal ekonomi.
Kita bukan orang yang buat dasar negara.

Dan kita tak boleh kawal orang lain. 
Kita tak boleh nak buat apa jika mereka tikam belakang , bodek bos atau tak suka kita.

Bila kita terlalu fokus pada perkara yang kita tak boleh kawal, kita sebenarnya sedang melepaskan kuasa yang kita ada untuk ubah hidup sendiri.

Kita penat sebab kita cuba kawal dunia luar, tapi kita lupa kawal dunia dalam diri kita.

Kawal diri sendiri.

Kita kena belajar kawal apa yang boleh kita kawal.
Jangan buang masa & tenaga untuk kawal perkara yang berada di luar kawalan kita seperti bos, kawan, ekonomi atau polisi syarikat.

Satu-satunya perkara yang kita boleh kawal ialah diri kita sendiri.

Kita boleh kawal cara kita berfikir.
Kita boleh kawal cara kita bertindak.
Kita boleh kawal cara kita melihat sesuatu situasi.

Inilah titik permulaan sebenar kepada perubahan hidup bila kita mula membangunkan diri sendiri.

Ramai orang nak hidup berubah, tapi masih gunakan cara fikir yang sama seperti semalam.

Mereka nak gaji naik, tapi tak bangunkan skil.

Mereka nak dihargai, tapi tak belajar memberi nilai lebih kepada tempat kerja.

Mereka nak bos faham mereka, tapi diri sendiri pun mereka tak faham

Perubahan sebenar bermula bila kita berhenti fokus pada apa yang orang lain patut buat dan mula tanya diri sendiri:-

Apa yang aku boleh buat hari ini untuk jadi lebih baik daripada semalam?

2 perkara kita kena bangunkan

Untuk bangunkan diri, ada dua perkara penting yang kita perlu bina.

1. Pertama, bangunkan mindset.

Cara kita berfikir menentukan arah tindakan kita.

Kalau kita terus fikir seperi kita mangsa keadaan, maka kita akan terus kekal sebagai mangsa.

Tapi bila kita ubah kepada “aku boleh belajar dan ubah”, kita akan mula nampak peluang baru.

2. Kedua, bangunkan skil dan kemahiran.

Bila kita ada skil yang bernilai, kita boleh beri manfaat kepada orang lain seperti bos, syarikat dan klien.

Orang yang memberi manfaat akan sentiasa bernilai dan bila nilai diri meningkat, pendapatan juga akan meningkat.

Jadi, kalau kita betul-betul nak ubah hidup, langkah pertama bukan pada ekonomi, bukan pada bos, bukan pada syarikat tapi pada diri sendiri.

Ubah cara berfikir.
Ubah cara melihat dunia.
Dan ubah cara bertindak.

Kawal apa yang boleh kita kawal.
Bangunkan diri sendiri.

Kerana bila diri kita berubah, dunia kita juga akan berubah.

Anda nak belajar dengan lebih mendalam bagaimana nak perbaiki diri supaya anda tingkatkan gaji atau pendapatan anda?