Sk Biz Solution - Community: 4 kesalahan dalam membuat keputusan.

Friday, September 16, 2022

4 kesalahan dalam membuat keputusan.




Apa yang kita dapat hari ini ialah hasil dari keputusan yang kita buat sebelum ini.

3 tahun lepas kita buat keputusan tidak mahu sambung belajar, kita mahu duit cepat dengan terus bekerja, dan hasilnya gaji kita terhenti pada satu tahap, tidak naik-naik.

5 tahun lepas kita buat keputusan untuk tetap bekerja di syarikat sekarang walaupun banyak kerja yang perlu dibuat, dan hasilnya kita sudah ada banyak pengalaman dan dinaikan pangkat.

10 tahun lepas kita buat keputusan untuk berhenti kerja dan fokus membina perniagaan yang kita minat, hasilnya sekarang kita sudah ada rangkaian perniagaan yang sedang berkembang.

Keputusan yang kita buat akan menghasilkan perkara yang baik dan buruk dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, kebolehan untuk kita membuat keputusan yang betul dalam hidup adalah sangat penting.

=

4 proses dalam membuat keputusan.

Biasanya kita akan melalui 4 proses dalam membuat keputusan iaitu:-

i. Kita mencari pilihan yang ada.

ii. Kita analisa pilihan tersebut.

iii. Kita membuat pilihan.

iv. Kita terima pilihan tersebut.

Setiap proses ada kesalahan yang biasa dilakukan secara kita tak sedar.

=

4 kesalahan yang biasa dilakukan ketika membuat keputusan.

1. Sempitkan pilihan.

Kebanyakan masa kita suka berfikir secara binari atau hitam putih.

"Aku perlu buat ini atau itu?"
" Kalau A salah, B mesti betul"
" Mahu duduk di rumah atau keluar dengan kawan?"

Kita suka menggunakan kaedah "Whether OR".

Cara fikir begini akan menyempitkan atau menghadkan pilihan yang kita ada dalam membuat keputusan.

Contoh situasi.

Ali bekerja di syarikat ABC Sdn Bhd. 

Ali suka dengan persekitaran pejabat yang bagus dan gaji yang diberi cukup untuk dia menampung kehidupan. Namun begitu, beban kerja di syarikat itu terlalu banyak sehinggakan Ali rasa tertekan dalam kehidupan dia.

Apa pilihan Ali?

Pilihan 1 -  Berhenti kerja.

Atau 

Pilihan 2 - Kekal di syarikat ABC Sdn Bhd.

Apabila kita guna kaedah "Whether OR"  kita hanya ada 2 pilihan saja. 

Kita telah menghadkan pilihan yang kita ada. Kita tidak ada pilihan lain.

Ada satu study yang dibuat oleh pengkaji dari "faculty business of school, Ohio State University, US".

Pengkaji telah kumpul data dan interview pembuat keputusan seperti CEO dan COO syarikat di US.

Dia telah analisa 168 keputusan dan didapati lebih kurang 70% menggunakan kaedah "Whether OR" dalam membuat keputusan.

Didapati keputusan yang dibuat mengikut kaedah "whether OR" , 52% gagal dalam jangka masa yang panjang.

Berlawanan dengan yang tidak menggunakan kaedah ini, hanya 32% saja yang gagal.

Kenapa kaedah "whether OR" ini gagal? 

Apabila seorang pengurus itu menggunakan kaedah "whether OR" dia hanya fokus pada 1 pilihan saja.

Dia menghabiskan banyak masa dengan bertanya soalan: Bagaimana saya nak jadikan pilihan ini menjadi? Bagaimana saya nak rakan sekerja lain menyokong saya?

Dia telah mengabaikan soalan yang lagi penting dari itu iaitu: Ada tak cara lain yang lebih berkesan? Apa lagi pilihan yang kita boleh buat?

=

Besarkan pandangan kita.

Kita boleh tambah pilihan kita dengan menggunakan kaedah "Whether AND". 

Dalam situasi di atas, Ali boleh tambah lagi pilihan yang dia ada seperti berikut.

Pilihan 1 -  Berhenti kerja 

Atau 

Pilihan 2 - Kekal di syarikat ABC Sdn Bhd dan bincang dengan bos tentang beban yang ditanggung.

Apabila kita tambah "dan", kita sudah besarkan perspektif tentang masalah tersebut. Kita sudah tambah pilihan yang ada.

Contoh.

Nak pergi makan malam atau nak pergi tengok wayang? boleh saja kita tukar kepada pergi makan malam awal sedikit dan lepas itu kita tengok wayang. Atau kita pergi main bowling.

Nak belajar atau bekerja? boleh saja kita tukar kepada belajar dan sambil tu kita bekerja.

Nak berhenti kerja atau nak berniaga? boleh saja kita tukar kepada bekerja dan sambil itu kita berniaga kecil-kecilan dahulu. Kalau perniagaan dah maju baru kita berhenti atau upah pengurus untuk menguruskan perniagaan.

=

2. Cenderung pada kepercayaan sendiri (confirmation bias)

Kita secara semulajadi cenderung untuk dengar perkara yang selari dengan kepercayaan kita.

Kita suka dengar perkara yang kita setuju. Kita akan beratkan perkara yang kita suka. 

Ini menyebabkan adanya "confirmation bias" ketika kita menganalisa pilihan . 

"Confirmation bias" menyebabkan kita mengabaikan maklumat baru yang bercanggah dari kepercayaan kita.

Kita tidak analisa pilihan yang lain dengan mendalam. Banyak perkara kita terlepas pandang.

Oleh itu, kemungkinan kita buat pilihan salah adalah tinggi.

=

Uji andaian atau pendapat kita.

Kita perlu selalu tanya soalan yang berlawanan terhadap kepercayaan kita, selalu tanya balik idea dan pandangan kita.

Kita boleh tanya soalan-soalan seperti:-

1.Betul ke pandangan aku ni?

2.Apakata pandangan aku ini salah?

3.Apa pandangan yang berlawanan dari idea aku ni?

4.Kenapa aku berpandangan sebegini?

5.Kenapa orang lain berpandangan sebegitu?

Apabila kita tanya soalan-soalan provokasi sebegini, kita sedang buka pilihan dan minda kita pada perkara yang lain juga. 

Kita sedang uji idea atau pandangan kita samaada ianya betul atau tidak. Ini dapat mengurangkan blindspot kita.

Selain itu, kita boleh saja tanya pendapat orang lain yang lebih berpengalaman dari kita. 

Kita boleh tanya mereka yang sama bidang dari kita atau yang luar dari bidang kita untuk mendapatkan perspektif yang berbeza.

=

Jalankan eksperimen kecil.

Dalam setengah keadaan kita juga boleh jalan eksperimen kecil untuk mengesahkan teori kita. 

Contoh.

Kita ada satu idea produk untuk kita berniaga. Kita dah buat kajian pelanggan tentang produk ini. Kita lihat di tempat lain produk seumpama ini laku keras. Kita cenderung untuk mengatakan produk ini akan berjaya.

Nanti dulu, jangan terlalu yakin. 

Sebelum kita keluarkan modal beribu ringgit untuk buat produk tersebut, apakata kita buat eksperimen kecil untuk uji idea kita. 

Kita boleh saja iklankan dulu ciri-ciri produk atau kelebihan produk kepada target market yang kita nak jual tu. 

Kita cuba buat pre-order dulu. 

Kalau ramai pelanggan yang buat pre-order barulah kita keluarkan modal untuk buat produk tersebut.

=

3. Terpengaruh dengan emosi jangka pendek.

Apabila kita membuat keputusan ia akan memberi kesan jangka masa pendek dan jangka masa panjang. 

Sebaiknya kita perlu lihat kesan dalam jangka masa yang panjang kerana ia bertahan lama. 

Berlawanan dengan kesan jangka masa pendek yang hanya sekejap saja.

Ramai orang terperangkap dengan emosi jangka masa pendek ketika membuat keputusan.

Contoh.

Setengah jurujual menggunakan taktik hype dalam proses jualan mereka. 

Mereka akan memainkan emosi kita dengan menunjukan manfaat-manfaat yang kita akan dapat secara berlebihan.

Mereka tunjuk duit berkepuk, kereta mewah, rumah banglo, tempat percutian menarik dan sebagainya untuk meningkatkan keterujaan kita. 

Mereka berikan harga diskaun yang sangat susah untuk kita lepaskan.

Semua taktik tersebut akan mempengaruhi emosi jangka pendek kita dalam membuat keputusan.

Kita akan rasa rugi kalau tidak rebut diskaun yang diberikan.

=

Ambil masa dan ruang sebelum buat keputusan.

"Jangan buat keputusan ketika beremosi"

Jangan buat sebarang keputusan ketika marah, gembira, sedih atau teruja.

Kita tidak boleh berfikir secara rasional ketika beremosi. 

Tanyakan soalan ini pada diri sendiri.

"Apa nasihat yang akan aku beri pada kawan baik aku  jika dia dalam situasi ini?

Ada satu kajian yang dibuat oleh ahli psikologi terhadap sekumpulan pelajar. Mereka dikehendaki memilih antara 2 pekerjaan seperti berikut:-

Pekerjaan A - kerja yang anda sudah belajar. Anda sudah ambil course di kolej walaupun sebenarnya anda tak minat, tapi disebabkan pressure dari parents, anda ambil juga course tersebut. Gaji yang ditawarkan juga tinggi dalam jangka masa panjang.

Pekerjaan B - kerja yang anda minat. Gaji sederhana tapi kerja ini memberi anda lebih makna. Ia juga memberi anda kebebasan yang mendalam untuk mengenali diri sendiri dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Apabila para pelajar dikehendaki memilih antara 2 kerjaya ini 66% memilih pekerjaan B dan 34% memilih pekerjaan A.

Tetapi apabila para pelajar dikehendaki memberi nasihat kepada kawan baik mereka, 83% memberi nasihat supaya rakan mereka memilih pekerjaan B.

Kenaikan 17% pada pekerjaan B.

Pilihan lebih jelas apabila para pelajar diminta untuk memberi nasihat kepada kawan baik mereka daripada membuat keputusan untuk diri sendiri. 

Para pengkaji mendapati, apabila kita memberikan nasihat kepada orang lain kita mudah untuk fokus pada 1 perkara yang penting saja.

Kita cadangkan pekerjaan B kepada kawan kita.

Kita rasa pekerjaan B akan memberi keseronokan dan kepuasan kepada kawan kita dalam jangka masa yang panjang.

Tetapi dalam situasi yang sama, apabila kita berfikir untuk diri sendiri, ada banyak faktor yang mempengaruhi kita.

"Kalau pilih pekerjaan B, kita fikir akan mengecewakan mak dan ayah kita yang cenderung kepada pekerjaan A? 

Kita juga mungkin fikir gaji yang diterima dari pekerjaan B kurang dari pekerjaan A dan sebagainya. 

Itulah kelebihan nasihat yang kita beri pada orang lain.

Kita cenderung untuk lebih bijak apabila memberi kaunseling kepada orang lain supaya jangan fokus pada emosi jangka pendek.

Nasihat yang diberikan kepada orang lain ada 2 kelebihan.

i) Ia secara semulajadi memberi keutamaan kepada perkara yang paling penting.

ii) Ia tidak fokus pada emosi jangka pendek.

Oleh itu, ketika kita mahu membuat keputusan, tanyakan soalan 

"Apa nasihat yang akan aku beri pada kawan baik aku  jika dia dalam situasi yang sama?

Soalan ini dapat memberi masa dan ruang kepada kita dalam berfikir.

==

4. Terlalu yakin dengan keputusan sendiri (over confidence)

Ada sebahagian orang dia terlalu yakin dengan keputusan yang dibuat. 

Ini mungkin disebabkan dia sudah analisa dan buat kajian yang mendalam tentang keputusan tersebut. Atau mungkin, dia pernah menyelesaikan masalah yang serupa.

Tapi harus diingat dunia ini penuh dengan ketidakpastian. Ada banyak perkara yang boleh berubah. 

Terlalu yakin juga menyebabkan kita boleh terlepas pandang petanda-petanda awal kegagalan. Ia menyebabkan kita tidak bersedia sekiranya menghadapi situasi yang tak dijangka.

=

Bersedia sekiranya kita salah.

Don't put all your money in one basket. We need to cover the downside.

Kita perlu ada perancangan lain sekiranya rancangan kita tidak berlaku seperti yang diharapkan.

Fikirkan apa risiko atau masalah yang bakal kita hadapi sekiranya perancangan kita tidak menjadi seperti yang dirancang. Bagaimana kita mahu hadapi situasi tersebut?

Sediakan buffer atau ruang untuk kita bernafas sekiranya berlaku sesuatu yang kita tidak jangka.

Contoh.

Kita mahu berhenti kerja untuk fokus pada perniagaan kita. Kita sudah analisa pilihan kita. Kita dah buat eksperimen kecil tentang produk yang kita nak jual. 

Kita lihat ramai pelanggan yang membeli produk kita. 

Ok, sebelum berhenti pastikan kita sudah sediakan buffer sekiranya tiba-tiba produk kita tidak laku selepas kita berhenti.

Bagaimana kita nak tampung perbelanjaan kita sekiranya tiba-tiba perancangan kita tidak berjalan seperti yang kita harapkan?

Buffer di sini mungkin kita sudah sediakan wang yang cukup untuk menampung kehidupan kita selama 6 bulan.

Mungkin kita sudah kurangkan perbelanjaan kita dengan hidup secara minimalis.

==

Secara ringkas ini kesimpulan dari 4 proses dalam membuat keputusan.

1. Dalam proses mencari pilihan, pandangan yang sempit menyebabkan kita kehilangan banyak pilihan yang lain.

Solusinya ialah besarkan pandangan kita. Gunakan kaedah "whether AND" dalam mencari pilihan.

2. Apabila kita menganalisa pilihan yang ada, kecenderung pada diri sendiri (confirmation bias) menyebabkan kita mengumpul bukti atau maklumat yang kita suka saja.

Solusinya ialah uji andaian atau pendapat kita. Tanya soalan-soalan provokasi pada diri kita. Lihat pandangan yang berlawanan dengan kita. Jalankan eksperimen kecil terhadap idea kita.

3. Ketika kita membuat pilihan, emosi jangka pendek selalu mempengaruhi kita.

Solusinya ialah jangan buat keputusan ketika beremosi. Ambil masa dan ruang sebelum membuat keputusan. 

Tanyakan soalan ""Apa nasihat yang akan aku beri pada kawan baik aku  jika dia dalam situasi yang sama?

4. Dan akhir sekali, setelah membuat keputusan, kita terlalu yakin dengan pilihan kita.

Solusinya ialah buat persediaan sekiranya kita salah. Sediakan buffer atau ruang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka berlaku.

=

Ini antara catatan atau nota saya berkenaan buku Decisive : How to Make Better Decisions, tulisan Chip & Dan Heath.














Ada banyak lagi tip dan teknik yang dikongsikan oleh penulis buku ni tentang cara membuat keputusan yang betul.

Anda boleh cari dan baca buku ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

Anda suka perkongsian sebegini?

Follow blog ini untuk dapatkan tips dan perkongsian berkaitan pembangunan diri. 


Semoga bermanfaat.

~ Shah - Sk Biz Solution

No comments:

Post a Comment